Tiada kemalangan Jiwa Yang Melibatkan Kebakaran Di Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu

Seorang remaja sempat menyelamatkan tiga adiknya yang sedang tidur dalam kejadian kebakaran yang berlaku di Wakaf Mek Zainab lalu pagi sabtu lalu.

image_14

Nik Alif Zakuan, 16, berkata, ketika kejadian, dia tersedar dari tidur kira-kira jam 3 pagi dan membuka tingkap apabila mendengar bunyi bising dari luar rumah.

“Saya terkejut bila lihat api melambung dan terus kejut adik dan ibu untuk menyelamatkan diri.

“Ketika itu saya hanya fikirkan nasib adik-adik dan mak. Lagi pun saya turut mempunyai adik bongsu yang masih kecil berusia setahun.

“Tapi saya tidak sempat selamatkan barangan dalam rumah,” katanya.

Nik Alif berkata, mujurlah dia bertindak cepat kerana kawasan rumah rapat antara satu sama lain.

“Adik-adik pun terkejut dengan kejadian ini.

“Sekarang saya tumpang di rumah jiran dan harap ada yang membantu kami setelah tiada tempat tinggal dan tinggal sehelai sepinggang,” katanya.

image_7

Dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi sabtu , lebih 50 keluarga di Wakaf Mek Zainab tinggal sehelai sepinggang selepas 15 kediaman hangus sekelip mata ketika penduduk sedang tidur.

Walau bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana semua penghuni sempat menyelamatkan diri.

Seorang mangsa yang ditemui, Nik Arna Che Mahmud, 32, berkata, dia terjaga dari tidur kira-kira jam 2.30 pagi untuk membancuh susu anak bongsunya yang berusia sebulan.

“Ketika saya sedang bancuh susu, saya terdengar jiran menjerit ‘api-api’.

“Saya terus mendapatkan anak-anak saya dan keluar menyelamatkan diri. Walaupun kesemua barangan dalam rumah musnah, namun saya masih bersyukur anak-anak selamat,” katanya.

Sementara itu, mangsa, Midah Musa, 49, berkata, ketika kejadian, dia yang tidur ketika itu dikejutkan jeritan jiran.

“Saya tinggal seorang diri dan terus bangun menyelamatkan diri dan hanya sempat mengambil telefon bimbit dan beg tangan sahaja.

“Boleh dikatakan saya antara orang yang terawal keluar rumah menyelamatkan diri dan semasa berlari, saya sempat mendukung seorang anak kecil dan tidak tahu anak siapa,” katanya.

image_15

Sementara itu seorang lagi mangsa, Miss Yawareeyah, 45, berkata, saya sedar selepas dikejut cucu dan hanya mampu selamatkan passport bersama cucu dan anak istimewa.

“Mujurlah ada jiran yang turut bantu. Setakat ini saya tidak tahu ke mana lagi hendak dituju,” katanya.

Penduduk asal di kawasan itu, Nek Wok Che Ibrahim, 73, berkata, kejadian berlaku begitu pantas.

“Walaupun mak cik sakit lutut, saya gagah juga diri selamatkan diri. Mujurlah cucu saya tolak kerusi roda dan bantu mak cik keluar dari rumah,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Timbalan Penguasa Bomba Kanan, Zaini Bidin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.52 pagi dan terus bergegas ke tempat kejadian.

“Dengan kekuatan 26 anggota, operasi mengambil masa hampir 40 minit untuk memadam kebakaran.

image_1

“Setakat ini kita anggarkan 15 kediaman terbakar dan empat lagi kediaman yang terlibat merupakan rumah kosong,” katanya.

Zaini berkata, buat masa ini punca dan kerugian masih dalam siasatan dan menyerahkan kepada pihak forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, polis menolak kemungkinan kejadian kebakaran di Wakaf Mek Zainab di sini melibatkan unsur khianat dan masih menjalankan siasatan berhubung kejadian terbabit.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, setakat ini penduduk hanya membuat laporan berhubung kebakaran sahaja dan tiada aduan berhubung unsur khianat.

Sumber:Sinar Harian

Kontribusi oleh : Freddie Aziz Jasbindar
Editor & founder orangperak.com
Hantarkan artikel dan penulisan anda dengan:
  • emailkan ke botalaboratory[at]gmail.com atau
  • whatsapp ke nombor 014 605 0005
PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.