Upacara-Upacara Yang Terdapat Dalam Ulek Mayang

Upacara yang terdapat dalam ulek mayang dipercayai mengandungi mantera yang digunakan untuk memujuk roh atau semangat. Perkataan “mantera” berasal daripada bahasa Sanskrit, iaitu “mantra” atau “manir” yang bermaksud ucapan kudus dalam kitab-kitab Veda, serta mengandungi unsur mitos dan jampi serapah. Mantera menjadi amalan yang merangkumi seluruh hidup masyarakat hindu, untuk tujuan kebaikan (T.plattes dalam Harun Daud:2004).

ulek

Dalam Ulek Mayang, persembahannya dimainkan dengan menggunakan Mayang Pinang. Mayang merupakan bahan utama dalam tarian ulik mayang. Mayang tersebut akan dibangkit dengan semangat dan dibangunkan dengan semah asal usul. Semah bermaksud sajian berupa makanan, binatang dan sebagainya yang disediakan untuk makhluk halus. Untuk menyembuhkan penyakit, pawang akan menggunakan mayang pinang yang masih lagi dalam seludangnya. Mayang pinang tersebut tidak boleh digunakan untuk kegunaan ritual setelah seludangnya pecah.

mayang

Seterusnya, pawang akan menggunakan sebiji guri tembaga atau batil yang berisi air, sebatang lilin yang diperbuat dari sarang dan madu lebah, bertih padi (bertih jantan), kemenyan dan beberapa kuntum bunga yang kebiasaannya menggunakan bunga cempaka, melati dan melor. Seterusnya, lilin dinyalakan dan kemudiannya diletakkan dalam batil atau guri tembaga yang berisi air. Apabila sampai waktunya, pawang akan membakar kemenyan dalam dupa yang siap dengan bara api, dan melihat arah asap yang sekaligus memberi petunjuk bahawa arah itulah penyakit akan dibuang dan dari arah yang berlawanan pula “Puteri Tujuh Beradik” dipanggil bagi menyempurnakan proses pengubatan.

batil

bertih

Sewaktu upacara persembahan diadakan, akan adanya iringan seloka dan pantun oleh rakan-rakan pesakit yang lainnya. Persembahan ini dilakukan beramai-ramai terutamanya pada waktu malam bulan purnama di tepi pantai dengan membuat bulatan dan pawang yang memegang mayang pinang akan duduk di tengah-tengah bulatan tersebut. Pada peringkat awal, tidak ada alat muzik yang mengiringi persembahan ini. Biasanya, para pemain terdiri dari mereka yang berusia antara lingkungan 15 hingga 40 tahun.

Setiap peralatan yang digunakan pula akan diasap dengan kemenyan satu persatu bermula dengan seludang mayang dan diikuti dengan bunga dan peralatan yang lain. Setelah itu, bomoh akan menutup kepala dengan kain batik lepas dan dililit “semutar” dan separuh badannya ditutupi dengan kain putih yang menggunakan benang kapas dan duduk bersila sambil mengulek atau mengugam.

kemenyan

Mengugam atau mengulek membawa maksud menyanyi dan melihat waktu yang baik untuk memohon pertolongan dan caranya ialah menyanyi dan menari. Pada waktu bomoh memulakan nyanyian, pukulan rebana mula mengiringi nyanyian pawang dengan tingkah laku tertentu yang mulanya perlahan kemudian kepada nada yang lebih sederhana dan tinggi. Dalam upacara ini, irama rebana tidak boleh tersalah kerana ini akan mengurangkan konsentrasi bomoh serta tidak akan membawa turun ”Puteri Tujuh” ke alam maya dan semangat.

Dalam upacara yang dianggap permainan inilah seorang bomoh atau pawang akan memulakan persembahan dengan membaca mentera memuja sejambak mayang pinang atau lukah atau kukur kelapa atau sebuah serkap dan benda-benda itu akan bergerak perlahan-lahan dan menari-nari dengan sesiapa sahaja yang memegang mayang tersebut atau dengan objek-objek lain. Maksudnya jika mayang dijadikan objek utama dalam persembahan ini, maka orang yang memegangnya akan ikut bergerak mengikut gerakan mayang yang dipegangnya. Begitu juga dengan lukah atau kukur kelapa, bubu atau serkap.

lukah

Terdapat beberapa daerah di Pahang terutamanya di Hulu Tembeling dan Temerloh, lukah atau serkap diberikan pakaian seperti mana manusia. Jika bomoh itu tinggi ilmunya, lukah atau serkap itu seakan bergerak-gerak tanpa dipegang. Malah yang lebih menarik lagi jika kukur kelapa digunakan, kukur itu akan bergerak sendiri. Menurut kepercayaan, jika kukur kelapa tersebut diletakkan dengan pasangan yang tidak sejenis, maka gerakannya akan menjadi lebih halus dan “romantis”, dan jika diletakkan pasangan sejenis, maka ianya ”berperang”.

Dalam tradisi masyarakat di daerah ini, kukur biasa diberikan jantina iaitu kukur jantan dibuat ”sawat” atau alat kemaluan, manakala kukur betina di bawahnya tidak terdapat apa-apa ukiran. Gerakan “tari” atau “perang” kukur jika menggunakan kukur atau gerakan mayang yang menari-nari dengan pawang itu merupakan kemuncak kepada persembahan ini.

kukur_jantan

kukur_betina

Pada peringkat terakhir, bomoh akan memecahkan mayang kelapa dengan menghempaskannya ke pasir atau menghempaskan sedulang mayang tadi ke telapak tangannya. Pada saat inilah sedulang mayang tersebut digerak-gerakkan untuk memanggil-manggil tujuh orang puteri seorang demi seorang. Puteri Satu adalah puteri tertua dan sulung yang harus dipanggil dengan tertib dan hormat sehinggalah Puteri tujuh yang terakhir iaitu puteri bongsu dan merupakan puteri yang paling cantik dan paling sakti. Dipanggil untuk mengulek dan melihat si pesakit jikanya bertujuan untuk pengubatan dan akan merahmati persembahan ulek mayang jika ianya untuk persembahan hiburan.

hqdefault

Upacara membawa turun tujuh puteri ini dibantu oleh “peduan” (Panduan) yang berfungsi sebagai “Tok Minduk”. Tok Minduk atau Peduan bermaksud “guru tua” atau guru segala guru dalam pengamalan ilmu seni tersebut. Kedatangan setiap puteri disambut dengan taburan tujuh biji bertih jantan dan biasanya setiap orang puteri akan memberi salam dan salam ini hanya dapat didengari oleh Pawang atau Peduan sahaja. Antara dialognya adalah seperti berikut:

Puteri Tujuh : Assalamualaikum!
Peduan : Waalaikumussalam!
Puteri Tujuh : Apa hajat dipanggil hamba turun ni?
Peduan : Nak minta tengok si Fatimah ( jika pesakit itu perempuan dan
kalau pesakit itu lelaki diberikan nama Ali) Minta tolong tengok
dan sembuhkan penyakit (jika untuk persembahan hiburan,
minta tenangkan keadaan dan berikan semangat yang baik).
Puteri Tujuh : Ambo (hamba) tak reti (tak pandai), tapi cuba-cuba buat cuba-
cuba tengok.

Ketika peduan berbual dengan Puteri ketujuh, penepuk gendang perlu menghentikan rebananya dan jika rebab digunakan sebagai menggantikan rebana, pemain rebab akan menghentikan gesekan rebabnya. Hal ini kerana untuk mengelakkan penonton “tergerak angin” atau terasuk. Jika hal ini berlaku, suasana pada ketika itu akan menjadi rumit, iaitu yang diubati tidak sembuh dan yang tidak sakit mendapat penyakit.

Sumber: Ceritera Dimensi

PERINGATAN: Pihak kami tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.